PROGRAM GOTONG ROYONG PERPADUAN BERSEPADU, FELDA SOEHARTO,
"Masjid dan Surauku Bersih, Kampungku Ceria"
1. Kelab Motorcross Sungai Dusun - PJS 3044/2009 (KMXSD) dengan kerjasama Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan (JKKR), Felda Soeharto akan menganjurkan program Gotong Royong Perpaduan Bersepadu, Felda Soeharto dengan memfokaskan kerja-kerja membersih, mengemas, menghias, membaikpulih kerosakan kecil, menebas rumput, mencantas pokok serta menanam pokok buah-buahan serta pokok hiasan/bunga didalam dan luar kawasan sebuah Masjid dan 8 buah surau secara serentak dalam perkampungan Felda Soeharto sebagai persiapan awal menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang hampir tiba.
2. Program kemasyarakatan yang julung kalinya diadakan ini menggabungkan semua AJK dan Ahli Kelab, Persatuan, Pertubuhan Politik dan NGO, Guru, Kakitangan dan Pelajar Sekolah Menengah, Rendah dan Agama, Kakitangan Pejabat Felda Gugusan Sungai Dusun, Pusat Kesihatan, Balai Polis, Rela, Jabatan Perhilitan, Jabatan Pertanian, Majlis Daerah Kuala Kubu Bharu, Pejabat Agama Islam, Agensi Kerajaan, Badan Berkanun, Syarikat Swasta dan Seluruh Penduduk Felda Soeharto.
3. Program ini akan diadakan pada 10hb Julai, 2010 (Sabtu) bersamaan 27 Rejab 1431 Hijrah. Majlis akan dimulakan pada jam 7.45 pagi untuk berhimpun di Perkarangan Masjid Al-Taufikiah, Felda Soeharto. Jam 8.00 pagi ketibaan jemputan/VIP seterusnya ucapan Perasmian dan Pelancaran yang akan di sempurnakan oleh Y.A.D. Dato Seri SETIA hj. mohamad adzib bin mohd isa serta majlis menanam pokok peringatan.
4. Semua pokok buah-buahan dan hiasan serta sebahagian peralatan dan keperluan telah di sumbangkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor manakala sumber kewangan untuk lain-lain keperluan, sarapan pagi dan makan tengah hari telah disumbangkan oleh orang persaorangan, syarikat korporat dan swasta.
5. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyemai serta memupuk semangat kesukarelaan dan perpaduan khususnya dikalangan generasi muda dengan generasi terdahulu disamping mendekatkan diri kepada masjid dan surau. Ia dibahagikan kepada 3 komponen iaitu:
a) Komponen Perpaduan, Kemesraan & Kejiranan
Matlamat yang ingin dicapai adalah agar semua peserta dapat bermesra bersama kejiranan setempat dengan lebih dekat serta menghormati keunikan individu. Meningkatkan rasa prihatin, penyayang diantara individu dan masyarakat amnya.
b) Komponen Kemudahan Awam (Rumah Ibadat) & Tanggungjawab
Komponen ini adalah untuk menyemai kepentingan menjaga kemudahan awam dari sudut kebersihan, pengindahan terutamanya masjid dan surau yang tersedia ada untuk kegunaan bersama oleh semua lapisan masyarakat dan bersikap bertanggungjawab.
c) Komponen Keceriaan, Kehijauan & Alam Sekitar
Matlamat komponen ini adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan, kehijauan dan alam sekitar untuk mewujudkan keselesaan dan hidup yang lebih sihat.
6. Adalah diharapkan program ini dapat diwar-warkan bagi menarik minat anak-anak jati Felda Soeharto ‘’ Jom Balik Kampong Gotong Royong’’ agar program kemasyarakatan ini dapat di sertai oleh seluruh lapisan masyarakat tidak mengira pangkat dan darjat serta hubungan persaudaraan dan silaturahim akan menjadi semakin kuat dan erat.
“PERPADUAN, KEMESRAAN & KECERIAAN”
Disediakan Oleh:
Siti Hajar Ismail
Bahagian Promosi & Hebahan
Kelab Motorcross Sungai Dusun
Tel : 012-385 0960
JOM BALIK KAMPUNG GOTONG- ROYONG!
ReplyDeleteSalam kepada semua warga FELDA Soeharto tak kiralah kat mana juga berada jom kita ceriakan masjid dan surau kita.... Kita terapkan nila-nilai murni yang suci serta ketaqwaan kehadrat Allah SWT sempena menyambut bulan Ramadhan yang hampir tiba.Mudah-mudahan segala usaha kita akan diberkati ALLAH SWT. Insyaallah.......
“Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat”